Friday, May 14, 2010

Tribute Untuk Sang Pendidik




HARGA HADIAH HARI GURU
Inudin Dirin

“Asyrafffff.”

Jerkahan nyaring bak halilintar memecah keheningan pagi tatkala anak-anak sedang menumpu minda terhadap pelajaran yang diajar. Tersentak.Semua tersentak. Suasana menjadi sunyi. Mati.

“Saya bercakap di depan, awak boleh ‘tarik’ di belakang,” terhambur keluar kata-kata itu daripada mulut Cikgu Adi.
“Apa yang awak buat malam tadi? Cuba beritahu saya,” tanya Cikgu Adi. Sengaja disebut kuat-kuat.

Asyraf bungkam. Senyap tidak berkata-kata. Memang dia bersalah kerana ‘tarik’ sewaktu dalam kelas. Memang dia berasa berdosa kerana ‘tarik’ sewaktu Cikgu Adi mengajar. Bukan dia tidak tahu pantang Cikgu Adi. Pantang anak muridnya ‘tarik’ dalam kelas. Kadang-kadang rakan-rakannya demam dan ‘tarik’ dalam kelaspun Cikgu Adi jerkah. Kadang-kala boleh kebah demam rakan-rakannya disebabkan oleh jerkahan Cikgu Adi.

“Pengumuman semua, hari ini Asyraf Safwan bin Zabidi dari kelas 5 Jaya, ‘tarik’ sewaktu saya mengajar dalam kelas,” jerit Cikgu Adi betul-betul depan pintu kelas 5 Jaya. Sengaja Cikgu Adi jengukkan kepalanya keluar daripada pintu menghala ke blok sebelah. Biar semua pelajar dengar pengumuman yang dibuatnya.

Budak-budak dalam kelas semuanya ketawa terbahak-bahak, manakala budak-budak dari kelas 5 Maju, 5 Gigih, 5 Dinamik, malah semua pelajar dalam blok itu kecoh, ada yang bertepuk tangan ada yang menjengah ke luar pintu. Beberapa orang pelajar yang lalu berhampiran kelas 5 Jaya, tersenyum-senyum melihat tepat ke arah Asyraf. Malu benar Asyraf. Itulah Cikgu Adi. Siapa yang tidak kenal dengan perangai Cikgu Adi. Kasar. Luluh hatinya apabila dia diperlakukan begitu. Sedih hatinya kerana dimalukan seluruh kelas, malah rakan-rakannya di kelas-kelas yang lain juga tahu apa yang berlaku. Mana dia hendak sorok muka. Mana dia hendak letak maruah dirinya.

“Awak pagi-pagi lagi sudah ‘Sujud Sahwi’. Apa yang tak kena ni, Asyraf?” suara Cikgu Adi memecah lagi kebisingan yang sudah dibuat olehnya sebentar tadi.
“Ma.., maa.. maaf..kan. kan saya, cikgu,” jawab Asyraf lambat.
“Cakap betul-betul, saya tak sukalah anak murid saya ni gagap, orang gagap ni tidak ada masa depan, orang tidak pandang orang yang gagap, susah hendak mendapat pekerjaan.”

Tersentuh benar hati Asyraf apabila mendengar perkataan yang disampaikan oleh Cikgu Adi itu.

“Sekali lagi awak cakap,” pinta Cikgu Adi.
“Ma.. mmmaaf,”
“Sekali lagi,” tengking Cikgu Adi. Air mata Asyraf mulai menggenang di sudut mata.
“Jangan nak ‘emo’ pagi-pagi ini, sekali lagi saya minta awak sebut betul-betul dan tidak mahu gagap.”
“Macam inilah Asyraf, awak nampak tangan saya ni,” Cikgu Adi membuka telapak tangannya dan menggenggam telapak tangannya itu menjadi buku penumbuk. Penumbuk itu besar. Sesuai dengan sasanya badan Cikgu Adi. Cikgu Adi meletakkan penumbuknya itu benar-benar hampir dengan muka Asyraf. Asyraf khuatir benar kalau penumbuk Cikgu Adi menjadi makanannya pagi ini.

“Saya simpan gagap awak dalam genggaman tangan saya,” kata Cikgu Adi sambil tangannya diacukan di muka Asyraf.”
“Sebut sekali lagi,”
“Maa...maafkan saya, cikgu.” Asyraf tergagap-gagap menjawab.
“Sekali lagi, Asyraf. Saya lepaskan gagap awak, nampak gagap awak dah jatuh ke lantai. Sekarang saya genggam sekali lagi gagap awak dalam tangan saya. Baik, mula cakap sekarang,” pinta Cikgu Adi supaya Asyraf mengulanginya sekali lagi.
“Maafkan saya, cikgu,” jawab Asyraf lambat-lambat dan satu persatu.
“Bagus. Lain kali jangan ‘tarik’ sewaktu saya mengajar. Sudah, duduk.”

Pagi itu pada waktu rehat Asyraf tidak keluar kelas. Selalunya pada waktu rehat dia bergegas ke koperasi sekolahnya. Ada makanan kegemarannya yang menunggu di sana. Kuih pau berinti kacang merah. Hanya di situ sahaja yang ada Kuih Pau berinti kacang merah tetapi hari ini seleranya putus. Asyraf langsung tidak berminat untuk mengalas perut seperti hari semalam dan kelmarin. Asyraf menghabiskan sepanjang waktu rehat di dalam kelas dan termenung menghala keluar tingkap kelasnya. Tebal rasa mukanya hari ini. Pasti semua orang tahu apa yang berlaku sebentar tadi. Dia tidak menyangka hari ini dia yang mendapat malu itu. Selalunya dia mentertawakan rakan-rakan sekelasnya yang ‘tarik’ sewaktu Cikgu Adi mengajar. Siapa yang berani ‘tarik’ sewaktu belajar mata pelajaran Cikgu Adi. Semua pelajar takut. Hari-hari dia akan mendengar jeritan Cikgu Adi. Berbuku betul hatinya kali ini. Perkara yang memalukannya itu betul-betul mengena batang hidungnya sendiri. Dia tidak pernah rasa malu yang amat sangat seperti yang dialaminya pada hari ini.

Keesokan harinya Asyraf berdebar-debar lagi kerana kelas Cikgu Adi betul-betul selepas waktu rehat. Mudah-mudahan dia tidak ‘tarik’ sementelahan malu semalam masih belum hilang, khuatir ditambah lagi malu pada hari ini.

“Bangun kelas. Assalamualaikum, cikgu.”
“Walaikumsalam.”
“Siapa suruh duduk. Awak tidak tahukah peraturan saya selepas beri salam tidak boleh duduk selagi belum menjawab soalan. Kalau tidak menjawab soalan saya, berdirilah sampai habis dua waktu. Hari ini saya berada dalam kelas ini selama 80 minit,” jerit Cikgu Adi apabila melihat Izat duduk selepas memberi salam. Izat bukan sengaja, bukan lupa tetapi secara automatik dia terus duduk. Sama macam yang dilakukan oleh Izat ketika guru-guru lain masuk mengajar.

“Kali ini Izat pulak yang kena,” hati Asyraf berkata-kata.
“Lega.”
“Siapa yang nak mula. Cerita apa-apa sahaja yang awak hendak katakan. Bahan yang hendak kita bincang hari ini ialah ‘Sabor’.” Kata Cikgu Adi disambut deraian ketawa oleh pelajar kelas 5 Jaya. Dia tahu ‘Sabor’ memang sangat digemari oleh rakan-rakannya. Cerita yang berunsur SX18 memang digemari oleh remaja sepertinya.
Kamachee mengangkat tangan.

“Ya, Kamachee, anda boleh mula.”
“Ceritanya begini, cikgu. Sabor telah dibawa oleh Jibor ke rumahnya pada suatu hari. Sabor telah tinggal di rumah Jibor selama beberapa hari. Sabor telah dilayan dengan baik oleh keluarga Jibor.”

“Bagus, Kamachee. Duduk.”
“Terima kasih, cikgu.”
“Sambung.”
“Saya, cikgu.”
“Saya atau awak yang cikgu,” Cikgu Adi cuba berlawak, tapi tidak menjadi. Siapakah yang berani berlawak dengan Cikgu Adi?. Semuanya serius. Kalau Cikgu Adi buat lawak sekalipun sering kali Cikgu Adi yang ketawa sendiri. Cuma apabila Cikgu Adi menjerit kerana ada pelajarnya yang ‘tarik’, baharulah semua bersorak. Mereka bersorak mungkin kerana suka tetapi ada juga yang menzahirkan protes dengan tindakan Cikgu Adi.

“Ya, teruskan Naquiah.” Pinta Cikgu Adi.
“Selepas dua puluh hari Sabor tinggal di rumah Jibor, isteri Jibor Siti Norsaidah berasa berahi dengan Sabor,”
“Huuuuu...” gelak rakan-rakannya yang lain.
“Isteri Jibor merancang sesuatu supaya dia dapat menggoda Sabor, cikgu.”
“Bagus, Naquiah. Awak boleh duduk.”
“Siapa lagi hendak sambung. Spesis lelaki yang pupus ini dah lenyapkah?” Celupar betul mulut Cikgu Adi mengenakan keenam-enam orang budak lelaki dalam kelas. Hanya enam orang sahaja pelajar lelaki yang tinggal iaitu Meor, Chau, Shankar, Fikri, Asyraf dan Izat.

“Saya cuba sambung, cikgu.” Pinta Izat ketua kelas 5 Jaya yang tadi sudah kemalu-maluan kerana dijerkah apabila terus duduk selepas memberi salam. Rasanya dia menjawab sebagai cara membersihkan namanya yang hampir tercemar tadi.

“Baiklah, Izat. Teruskan,”
“Pada sebelah malamnya, Siti Norsaidah telah memberi majun kepada suaminya Jibor sehinggalah Jibor tidur dengan lena dan tidak sedarkan diri. Setelah melihat suaminya tidur dengan nenyak, Siti Norsaidah telah masuk ke dalam bilik Sabor.”
“Apakah yang dibuat oleh Siti Norsaidah? Baiklah duduk Izat. Sekarang giliran Asyraf pula jawab.”

Asyraf terkejut. Dia tidak menyangka bahawa dia yang akan disuruh menyambung cerita tersebut.

“Ha, hari ini tak ‘tarik’ pulak awak, Asyraf. Lain kali awak tidak perlu duduk, kalau duduk tentu awak asyik ‘tarik’ sahaja.”

Terkejut dia dengan kata-kata Cikgu Adi. Asyraf menyangka cerita semalam sudah berakhir. Rupa-rupanya bersambung pada hari ini pula. Malu semalam belum berakhir, sudah hendak ditambah pula pada hari ini. Apalah nasibnya. Dia perlu menghadapi ini untuk 10 bulan lagi kerana Cikgu Adi akan mengajarnya selama tempoh itu.

“Asyraf!”
“Ya, ciik..”
“Kenapa gagap lagi ni?”
“Jawab. Awak hendak duduk atau tidak,”

Asyraf mengangguk tetapi mukanya ditundukkan. Dia tidak berani hendak menentang wajah Cikgu Adi. Dia memang tidak berani melihat mata Cikgu Adi yang tajam, menusuk dalam jiwa. Kalau dia boleh lari ke luar bilik darjah waktu itu dia akan lakukan. Tapi dia terpaksa menghadapinya juga. Menghadapi untuk 10 bulan lagi.

“Asyraf!”
“Sambung.”
“Si..Si..ti Norsaaidah menggoda Sa Sa bor, cikgu,” jawab Asyraf satu-satu.
“Kemudian apa dia buat?” tanya Cikgu Adi.
“Di di.”
“Apa didi, Siti Norsaidah bukan burung kedidi.”

Semua pelajar dalam kelas ketawa serentak. Cikgu Adi pun turut ketawa. Asyraf sendiripun ikut ketawa. Ketawa sebab geli hati atau sebab semua orang ketawa, dia pun tidak pasti.

“Baiklah, Asyraf saya akan bantu awak.”
“Awak nampak penumbuk saya ini?”
“Nam nam pak cik gu,” jawab Asyraf terketar-ketar. Besar penumbuk Cikgu Adi. Kalau kena di pipinya tentu lebam. Apa yang hendak dijawab apabila bapanya bertanya nanti. Dia berkira-kira apa jawapan yang patut dijawabnya kalau penumbuk padu Cikgu Adi sampai ke pipinya.

“Awak nampak penumbuk saya ni. Sekarang saya ambil gagap awak, saya genggam dalam tangan saya,” Cikgu Adi mengacukan penumbuk kanannya hampir ke batang hidung Asyraf.
“Jawab apakah yang Siti Norsaida buat terhadap Sabor?” tanya Cikgu Adi lagi.
“Di di.”
“Nampak penumbuk saya, saya buka genggaman ni dan buang gagap awak,dan saya genggam lagi, kalau kali ini awak masih gagap, saya hayunkan penumbuk ini ke muka awak,”
“Dia naik atas badan Sabor, cikgu. Dia goda Sabor supaya melayan nafsu serakah dia, cikgu.” Satu persatu.
“Bagus, Asyraf. Bolehpun awak jawab. Lain kali kena laju sedikit sewaktu menjawab soalan saya.”

Lega benar Asyraf kerana seksa untuk menjawab soalan dariapda Cikgu Adi telah tamat.
Sewaktu dia keluar untuk ke dewan makan tepat jam 2.00 petang, Asyraf diperli oleh beberapa orang pelajar kelas sebelah.

“Hai, Lady Gaga.”
“Bukan Lady Gaga, Lady Gagaplah.”

Mereka ketawa gembira meninggalkan Asyraf terpaku di tepi pintu kelasnya. Asyraf tidak menjawab apa-apa. Bisu. Kelu. Malunya tidak terkira. Sudahlah tadi di dalam kelas, Cikgu Adi mengenakannya, kawan-kawan sekelasnya mentertawakannya, kini rakan-rakan dari kelas lain juga turut memperlinya. Bukan dia pinta untuk menjadi gagap. Dulu dia tidak gagap, kebelakangan ini sahaja dia gagap. Malah gagapnya semakin menjadi-jadi. Asyraf bingung dan buntu. Mengapa Cikgu Adi betul-betul membencinya.Patutkah sesorang itu dibenci kerana gagap. Persoalan yang tiada jawapan.

‘Walaikum salam. Saya baik. Terima kasih kerana cikgu mengambil berat tentang saya. Sebenarnya saya rindu hendak pergi ke sekolah. Bilakah agaknya saya dapat mula belajar. SPM sudah dekat.’

Tiga aksara masuk ke dalam kotak mesej Cikgu Adi. Terpaku Cikgu Adi dengan kedatangan pesanan ringkas daripada Asyraf. Dia tidak tahu apa yang harus dibalasnya. Dia buntu. Dia tidak membalas pesanan ringkas Asyraf itu kerana tidak tahu cara untuk memujuk Asyraf. Tiada aksara yang muncul dalam mindanya. Kosong dan pesanan ringkas itu tidak berjawab hingga sekarang.

Hatinya musnah. Hatinya hancur. Hatinya remuk. Remuk dengan tindakannya selama ini. Kalaulah dia tahu bahawa itulah sebagai satu tanda, dia tidak akan melakukan perbuatan kejamnya. Asyraf sering migrane dan tidak dapat melelapkan mata. Ada kalanya dia menghempuk kepalanya pada dinding kerana sakit yang amat. Kadang kala dia tidak boleh tidur semalaman kerana kesakitan. Mungkin sewaktu dia ‘tarik’ itulah waktu dia tidur selepas lebih dua puluh empat jam tidak menutup mata.

Kalau dia tahu itulah isyarat penyakit kejam itu, tentu dia tidak menunjukkan penumbuk ke arah Asyraf. Walaupun tidak pernah penumbuk itu singgah di muka Asyraf tetapi perbuatannya itu sezalim tentera Jepun. Dialah pendera, mendera Asyraf secara mental. Cikgu Adi berasa berdosa amat.

“Petang nanti kita bertolak menaiki bas ke rumah Asyraf.”
“Saya sudah belikan kad ucapan,” kata Fatihah pantas.
“Kami sudah beli buah-buahan, cikgu.” Segera Nithia memberitahu.
“Ya, kita ke rumahnya.”

Perjalanan ke rumah Asyraf terasa begitu jauh. Begitu lambat. Sebak mulai terasa, sayu mulai menyapa.

“Cikgu, doakan saya cepat sembuh.”
Cikgu Adi memeluk kuat-kuat Asyraf pada giliran terakhir selepas semua rakan kelasnya mengucapkan selamat tinggal. Tidak dilepaskannya hampir 5 minit pelukan itu. Tidak ada apa-apa ucapan didengari keluar daripada mulut Cikgu Adi. Rakan-rakan sekelas terpaku dengan tindakan Cikgu Adi.

“Asyraf, saya minta maaf atas apa yang saya lakukan kepada awak. Bukan niat saya untuk memalukan kamu. Saya berusaha membantu kamu. Saya lakukan itu kerana sayang saya kepada kamu. Saya mahu anak-anak murid saya menjadi yang terbaik. Maafkan saya Asyraf.”

“Cikgu tidak bersalah. Terima kasih cikgu kerana sekarang saya tahu sebenarnya selama ini cikgu memberi perhatian kepada saya. Saya juga sedar bahawa cikgulah guru yang akan menyentuh saya setiap kali masuk dalam kelas. Bukan saja saya yang cikgu sentuh, cikgu sentuh semua orang. Tidak ada seorang pun yang tertinggal setiap kali cikgu dalam kels. Cikgu sentuh bukan jasad kami tetapi cikgu sentuh jiwa kami dan cikgu sentuh perhatian kami. Cikgu sentuh seorang demi seorang. Tidak ada seorang gurupun yang menyentuh kami sebegitu. Terima kasih, cikgu.”

Asyraf merangkul kuat pelukan Cikgu Adi. Cikgu Adi bertekad untuk memberi sokongan kepada Asyraf. Setiap hari tanpa mengira waktu dia akan menghantar tiga aksara bertanyakan khabar. Kalau dulu dia dapat menyentuh asyraf setiap kali di dalam kelas kali ini dia akan menyentuh asyraf secara maya. Biar asyraf tahu bahawa dia tetap akan menyentuh asyraf setiap masa.

‘Walaikum salam...cikgu telefon saya sepuluh minit lagi. Saya baru sampai rumah. Saya hendak cuci darah sebentar.’ Tepat 2.22 petang 21 April 2010 tiga aksara tiba-tiba masuk ke dalam kotak mesej Cikgu Adi. Walaupun tiga aksara itu bukan daripada Asyraf tetapi Cikgu Adi bertekad untuk menyentuh semua insan ‘istimewa’ yang disayanginya setiap masa sebagai tanda harga hadiah Hari Guru kepada anak-anak didiknya.

9 comments:

tarbond said...

salam, ckg... slmt hari guru.. teruskn perjuagan dan tabah mngharungi dugaan hidup.. doakn saya die sini... :)

Wawan Saini said...

papa.
wan menanti karya ini
:_

INUDIRIN said...

Tarbond: Terima Kasih Tarbond. Macamana Egypt? Saya sentiasa doakan anak-anak SAMURA berjaya walau berada di mana-mana sahaja. Jangan lupa diri dan jangan lupa solat.

Wawan: ...jangan gelak tau...tak puitis mcm wawan punya...

Blog Anuar Kamaruddin™ said...

salam bang :)

'tarik' tu tidur eyh bang, towards ending baru nuar mengerti mksdnya.

best part yg nuar sesengih,
“Di di.”
“Apa didi, Siti Norsaidah bukan burung kedidi.”

hakhakhak...lawak!

garangnya cikgu Adi, haih! kus semangat :)

SELAMAT HARI PENDIDIK! :D

INUDIRIN said...

Thanks Nuar... Malu benar abang... Terharu Nuar sudi mampir...Cuma untuk seronok2 sahaja...
Abang doakan Nuar akan teruskan memberi inspirasi kepada anak2 muda menghasilkan karya bermutu... Zaman abang sudah berakhir...

azfar said...

Terima kasih yang tidak terhingga atas segala tunjuk ajar yang diberi dan sentuhan maya itu.Muga akan menjadikan saya lebih kuat dan tabah mengahadapi ujianNya.SAMURA sentiasa dalam ingatan dan kerinduan saya. INSYAALLAH KITA AKAN DAPAT BERJUMPA LAGI.Doakan saya. Terima Kasih, Cikgu. SELAMAT HARI GURU.-asyraf;5 Jaya

INUDIRIN said...

Terima kasih asyraf kerana sudi membaca coretan ini. Semoga saya dapat menjadi lebih baik untuk mengenal anak-anak murid saya. Maafkan salah silap saya asyraf. Saya gembira mendidik kamu. Doa saya sentiasa mengiringi kamu..

katak hijau said...

salam,

baru sempat baca HHHG ni sebab masa tak mengizinkan sebelum ni :)

teringat zaman skola2 dulu..ada gak kes 'Tarik' ni..huhu

'SELAMAT HARI GURU '

Ku Din said...

Terima kasih NA. Terima kasih juga sebab sudi mampir... Terima kasih juga sudi baca walaupun berada di kejauhan.

Post a Comment