Thursday, May 13, 2010

Pucuk Ubi Masak Lemak dan Ikan Kering

"Mak sihat?"

"Ubat mak dah makan? Ubat apa yang dah habis, mak?"

"Mak duduk sini kejap. Nanti Adi ambik tekanan darah mak."

"Kenapa naik lagi ni mak, 165 dan 80. Tinggi ni, mak"

"Mak ni banyak yang difikir. Buat apa mak nak fikir-fikir."

"Tak kan orang hidup tak fikir."

"Ala relaks aje mak. Tak payah fikir-fikir."

"Tengok ni glukos pun 10.6, tinggi ni mak."


Rutin harianku, setiap kali pulang dari kerja. Menjenguk Mak yang sudah berusia hampir 80 tahun. Mak yang memeliharaku sejak dari kecil, sejak aku tidak mengenal erti apa-apa sehingga sekarang. Baru dua hari Mak pulang dari rumah Kak Long, badannya makin lemah.


"Hari nak hujan. Mendung."


Aku faham maksud Mak. Mendung bermaksud kebimbangan dalam hatinya. Hidupnya selama ini memang penuh dengan kebimbangan. Bimbang dengan aku, bimbang dengan kakak-kakakku, bimbang dengan Bak. Mak selalu sedih apabila hari nak hujan. Hatinya sayu apabila hujan. Hatinya pilu apabila hujan. Hujan adalah meresahkan. Hujan adalah menyusahkan. Hidupnya memang penuh dengan kesusahan. Mak menoreh getah. Bukan kebun Mak. Bukan kebun Bak. Kebun orang lain. Jalan berbatu-batu mengambil upah. Pukul empat pagi Mak dah keluar rumah dengan Bak. Pakai pelita atas kepala. Bau minyak tanah tak akan aku lupa setiap kali Mak pulang bekerja.


"Daun ubi lagi. Boring la hari-hari sayur lemak daun ubi dengan ikan kering. Tak ada lauk lain ke mak?"

"Makan aje lah, itu yang ada."

"Tak ada seleralah mak. Gorenglah ikan kembung. Hari-haripun tak apa. Ni asyik-asyik daun ubi. Ikan kering."

"Makan la, sikit pun tak apa. Makanlah."


Masih akuingat lagi kata-kata itu kerana akulah yang mengucapkannya kepada Mak. Setiap kali balik dari kebun, Mak masak lemak pucuk ubi yang dipetiknya semasa melintasi rezab jalan ke rumah kami. Ikan kering pula biasanya Mak beli di kedai Haji Mahfoz. Kadang-kadang sedap kadang-kadang berbau bangkai. Bak selepas siap memesin getah pergi menyambung kerja. Menebas semak kebun sebelah. Upahnya akupun tak tahu berapa. Mungkin banyak mungkin sedikit aku tak pernah ambil kira. Akhirnya aku tahu Bak tak pernah ambik upah, asalkan dapat makan pokok buah, setiap kali musim tiba sudah memadai untuk Bak demi rezeki anak-anak tercinta.


"Nak jugak basikal Chopper. Nak jugak. Nak jugak macam Ana."

"Nantila, ni mak baru beli Ana punya. Nanti lain kali mak beli Adi punya."

"Nak jugak. Nak jugak. Kalau tak belikan, tak nak pergi sekolah."


Oh, Tuhan. Berdosanya aku pada Mak. Walaupun bukan Mak yang melahirkan aku, tetapi aku akan dapat apa-apa sahaja yang aku inginkan. Seingat aku Mak membawa aku ke bandar dengan Bak petang itu. Bak sanggup tidak pergi menggunting rambut sebab hendak memenuhi permintaanku. Bak selepas menoreh getah, menebas belukar, akan mengambil upah menggunting rambut di kedai Chabai tidak jauh dari rumah kami. Basikal Chopper. Tapi aku tak faham mengapa pergi ke kedai kecil di sudut jalan. Pejabatnya tinggi berjeriji. Mak mengeluarkan rantai yang dipakainya dan diberikan kepada Cina tua. Selepas itu Mak diberikan sekeping kertas dan segumpal wang.


"Adi nak yang mana?" tanya Mak.

"Nak yang sama dengan Ana."

"Yang biasa ni tak nak ke?"

"Tak nak. Nak yang sama jugak. Yang itu murah."


Kegembiraan itu aku gambarkan dengan meronda sepanjang kampung setibanya di rumah. Basikal Chopper ni cuma ada tiga orang sahaja yang memilikkinya, Ana, aku dan seorang lagi yang aku tak ingat siapa. Aku gunakan juga basikal ini ke sekolah. Berbareng-bareng dengan Ana ke sekolah. Seronok bangga ketika itu. Rupa-rupanya Mak menggadaikan rantainya untuk membelikan aku basikal itu. Semuanya aku ketahui apabila aku terjumpa kertas merah yang sama seperti tauke Cina beri tempohari.


"Kau dah makan Adi," tanya Mak selepas aku memeriksa tekanan darah Mak.

"Belum lagi, mak."

"Makanlah, ambil nasi dalam periuk sendiri. Nanti mak buatkan air."


Aku membuka tudung periuk Mak. Masak lodeh tempe, tauhu, soon dan fucuk. Kuali pula aku singkap. Ikan Kembung masak sambal. Sedap. Aku makan. Mak meladeni aku. Sama seperti dulu. Masa aku kecil. Sekarang sudah hamir separuh abad umurku. Mak masih meladeni aku makan. Masih aku ingat ketika itu aku berada dalam tingkatan satu. Aku bersekolah di sebelah petang. Mak masih belum pulang sedangkan aku sudah mahu ke sekolah. Akupun pergi ke keliling rumah. Kupetik pucuk-puck ubi kayu, ubi pulut. Aku parut kelapa, aku perah santan. Aku tumbuk ikan bilis dan bawang kuhiris kasar-kasar. Aku masukkan dalam periuk. Sama macam Mak buat. Letak garam. Aku cicip. Tapi tidak sesedap Mak masak. Aku buka almari. Ikan kering busuk aku basuh, selepas tu aku goreng dalam kuali. Sama macam Mak buat. Aku makan sendiri dan aku hidangkan atas meja sebelum aku berangkat ke sekolah tanpa berjumpa Mak dan Bak yang belum pulang dari menoreh getah dan mengambil upah menebas belukar. Aku tidak tahu mengapa Mak tidak pulang. Mak tidak memasakkan untukku. Mungkin Mak kecil hati sebab aku seirng merungut sayur lemak pucuk ubi dan ikan kering lagi tapi yang aku pasti selepas itu Mak tak pernah masak sayur lemak pucuk ubi dan ikan kering lagi.


Mak mesti ikut."

"Nanti susahkan semua orang."

"Adi ada. Mak mesti ikut"


Mak tak terkata apa-apa apabila aku sudah membuat keputusan. Tetapi keputusan yang aku buat memberi kekuatan kepada diriku. Inilah permintaan aku yang terakhir sebelum Mak pergi atau aku yang pergi dulu menemani Bak yang sudah bersemadi 10 tahun yang lalu. Kali terakhir aku bersama Bak dan Mak ialah pada tahun 1997. Ketenangan yang aku tidak dapat lupakan. Mak dan Bak yang mengajar aku memakai kain ihram, umrah pertamaku. Bak gembira kerana tak perlu mengheret beg besar seperti selalu, seperti yang saban tahun Bak lakukan. Mak gembira kerana tak perlu melihat Bak menyorong kereta sorong membawa barang-barangnya, seperti yang dah 6 kali Bak. Tapi pemergian kali ini kali terakhir untuk Bak. Tapi Mak pernah bilang, Bak sangat gembira kerana seronok di sana apatah lagi aku ada. Bak yang mengajarku segala, amal ibadat mudah-mudahan diterima juga.Moga Bak mendapat pahla berganda.


Aku bertekad untuk membawa Mak sekali lagi, tetapi kali ini bersama-sama dengan anak dan isteriku serta mentua. Aku ingin mengutip kembali kenangan Mak bersama-sama Bak di Mekah dan Madinah. Ingat lagi di pojok itulah Mak menunggu Bak. Di penjuru Pejabat Pos itulah Bak setia menanti kalau Mak terlewat keluar dari Bab al-Nisa di Masjid Nabawi. Tiang itulah menjadi bukti dan menyaksikan pertemuan antara Bak dan Mak setiap kali waktu solat di Masjidil Nabawi. Aku ingin membawa semula ke pojok itu. Itulah tekadku. Akhirnya dengan kekuatan yang ada aku berjaya membawa Mak untuk kali kedua tanpa Bak di sini. Namun itulah kenangan yang paling abadi kerana aku terpaksa menjalankan dua tugas sekali gus, melayani kerenah anak dan bini dan juga Mak yang memeliharaku sepenuh hati. Nasib baik isteriku amat memahami, dia mengumpulkan tenaga mengendali anak-anak dan aku melayani Mak sepanjang masa, berjalan beriringan ke Masjidil Haram dan ke mana-mana sahaja. Aku anggap itulah nostalgia yang tidak dapat aku lupa. Kaulah bonda tercinta.


"Mak. Adi tak tahu di mana adi. Mak."

"Panasnya badan kau Adi. Mak kat sebelah pun terasa bahangnya."

"Mak mengapa Adi tak boleh lelapkan mata. Adi nampak babi sahaja. Babi di sana. Babi di sini."

"Sabarlah Adi. Nanti mak usahakan."


Aku tak pernah ingat kata-kataku itu. Tetapi Mak lah yang memberitahu. Badanku hangus, hitam legam. Isteriku tergamam tak tahu apa yang nak dibuat. Terus membuat keputusan membawaku ke Hospital Segamat. Dia memandu kereta proton emas milik kami. Itulah pertama kali dia memandu untuk membawa aku. Dia beranikan diri. Dia gagahi dengan semangat sejati. Mak membekalkan aku dengan doa. Akhirnya aku beransur pulih setelah seminggu di dalam hospital. Badanku mulai menggelupas dek panas tiada terbatas. Aku kembali ke Kuala Lumpur ketika itu, tetapi aku menelefon isteriku mengatakan aku minta maaf kalau aku membuat salah. Isteriku terpaku dan hanya meminta Mak membantu. Emak dan Bak tanpa fikir dan tanpa tahu arah meluru ke Kuala Lumpur bersama ipar. Hanya berpandukan pengalaman akhirnya iparku menemui aku kesorangan dalam bilik, dengan keadaanku yang tak terusik. Mak membawaku pulang. Berubat sedaya mungkin. Akhirnya aku pulih selepas sebulan merintih. Semuanya emak dan isteriku yang lakukan.

Aku lihat Mak lemah terbaring. Kutatap jemarinya yang menampakkan urat keras. Kutatap dengan pandangan sayu. Inilah manusia yang memelihara aku. Inilah manusia yang membesarkan aku.


"Itulah pilihan Adi."

"Adi dah fikir dalam-dalam."

"Adi tak tahu. Adi suka"

"Fikirlah Adi"


Aku berteleku dan memikirkan segala apa yang Mak cuba sampaikan. Pernah suatu ketika sewaktu aku remaja jiwa memberontakku meminta untuk menukar semua yang tertulis dalam sijil kelahiranku kepada Ibu dan Ayah kandungku. Semuanya sudah aku usahakan dan semua sudah kuusulkan. Tetapi aku menarik balik selepas aku mengetahui bukan mudah hendak melakukan itu semua. Aku pasrah kalau itulah yang tertulis. Aku tahu tindakanku itu telah menyakiti hati Mak. Banyak sungguh apa yang Mak lalui dengan kerenahku yang tidak berperi. Aku mengambil keputusan untuk menerima cadangan Mak meminang insan yang Mak berkenan di hati. Walaupun aku tak pernah nampak muka apatah lagi untuk berbicara. Aku terima bulat-bulat cadangan Mak kerana bagiku aku cuma ada Mak dan Bak. Umur mereka pun tidak lama mana. Apa lagi yang harus aku lakukan untuk menggembirakan mereka selain mengikut apa-apa sahaja yang diminta.


Aku bersetuju dengan cadangan Mak. Dia kini menjadi milikku selamanya. Aku bahagia dengan pilihannya kerana bagiku akulah yang menjadi penentu bahagia atau deritaku. Kalau aku sendiri yang melukis derita, maka deritalah, tapi kalau aku yang melakar bahagia maka bahagialah. Aku benar-benar bahagia dengan keluargaku dan ibu kepada anak-anakku.Kini aku mengambil kekuatan Mak. Berupaya meladeni anak yang banyak kerenah seperti aku. Aku tak ingin untuk mengecewakannya lagi dengan perangai burukku selama ini. Aku bangga kerana Mak sudi memeliharaku, membesarkanku hingga aku menjadi begini. Kalau tidak begitu aku tidak begini.


"Oh, tuhan."

"Jangan kaucabut nyawaku dulu,"

"Banyak yang belum kulunaskan."


Aku sedih siapakah yang akan melayan aku lagi sekiranya kaupergi. Aku tidak berdaya untuk memberitahu bahawa aku akan meninggalkanmu. Barangkali aku yang lebih awal menemani Bak di sana. Aku masih mau Mak melayan aku, macam aku kecil-kecil dahulu, macam ketika aku sakit, macam ketika aku berserabut jiwa dan perasaan. Tempat siapa akan aku mengadu kalau aku sudah tidak berupaya nanti. Kekentalan jiwa Mak membuatkan aku ingin melakukan perkara yang sama. Memberi apa-apa sahaja yang dipunya asalkan dapat membahagiakan orang yang ada di depan mata. Kekuatan Mak membuatkan aku banyak mendampingi orang yang memerlukan sokongan aku. Kalau Mak boleh membahagiakan anak orang lain yang dipeliharanya. Aku berjanji akan membahagiakan anak-anakku dan orang lain yang sudi menerimaku. Kalau Mak menaburkan bakti dengan memberi kasih sepenuh hati, akan aku turuti kerana aku mahu berbakti. Anak-anakku tidak akan aku abaikan demikian juga pada DIA yang sedang berjuang dengan kematian.


Mak, pada hari Ibu ini, pertama kalinya aku ingin mengungkapkan kata-kata bahawa Adi sayang pada Mak. Maklah segala-galanya. Adi juga memohon ampun daripada Mak kerana banyak menyakiti hatimu, membantah cakapmu. Tiada kata-kata untuk mecerakinkan satu persatu. Aku tidak berani lagi untuk meminta apa-apa walaupun sebenarnya aku rindu sayur lemak pucuk ubi dan ikan kering bekas air tanganmu.


Selamat Hari Ibu buat Ibuku Sapurah Haji Salih.

3 comments:

zakiamali said...

betul cikgu.. br sy phm tugas sebenar seorg guru... begitu mulia!!! Terima kasih cikgu!

zakiamali said...

dan bukan mudah utk seseorg individu 'menyentuh' hati, jiwa dan perasaan pelajar.. hanya yg bergelar pendidik mampu melakukannya... teringat, sy pernah alaminya semasa cikgu mengajar sy dulu...

Ku Din said...

Terima kasih zaki.. Tiada kata-kata yang dapat saya ucapkan melainkan terima kasih. semoga zaki juga menjadi yang terbaik.

Post a Comment