Tuesday, August 30, 2011

Benci Raya


"Susah."
"Susah"
"Macamana kaki boleh besar sebelah ni..."
"Orang lain boleh beli sepasang saiz yang sama, tapi engkau ni kena beli dua pasang tapi saiz yang berbeza."

Kasut Lagging yang diidamkan menjadi tajuk perbualan pada malam raya.

"Boring betul. Aku taulah kaki aku besar sebelah. Besar cuma dekat tulang buku lali aje. Kenapa nak komen. Memang tuhan buat tulang buku lali tu besar sebelah. Nak buat mcamana" Dengus hatiku apabila kaki kesayanganku dijadikan bahan perbualan. Raya pada tahun itu, aku tidak memakai alas kaki idaman sebaliknya selipar 'jepun' sahaja kerana kasut legging itu dipulangkan ke kedai kasut pada malam itu juga. Untungnya aku dapat RM50 daripada Abang Long.


bersambung...

Saturday, August 21, 2010

Kunci Kasih


Cinta menggabungkan segala-galanya. Cinta tanpa kasih tidak meninggalkan bekas. Kasih tanpa cinta tidak mencipta rasa. Cinta yang dibuai dengan ayunan kasih memberikan sentuhan istimewa dalam jiwa sukma. Kasih yang terkunci di dalam cinta abadi memang menjadi impian nurani. Gabungan dua rona mencipta kunci kasih yang bertaut kekal terakru dalam cinta suci sejati.

Novel karya rasa Inu Dirin akan muncul sedikit masa lagi...

Travelog Samura


Travelog Samura merupakan Catatan Rasa Perjalanan Merentasi Benua yang dilakukan oleh anak-anak SAMURA sejak 2007 hingga 2010. Sebanyak 6 kali perjalanan telah dibuat dan catatan perjalanan ini dibuat semasa perjalanan dilakukan. Nantikan kemunculannya akhir 2010 nanti.

Saturday, June 19, 2010

Tribute Untuk Abi sempena Hari Bapa



Tidak betah aku melihat kesengsaraan yang Abi lalui. Darah merah yang mengalir ke dalam tubuh Abi dari dua kampit menyebabkan Abi tidak selesa. Mungkin Abi tidak serasi dengan darah yang masuk ke dalam tubuhnya yang kurus itu. Sepanjang malam Abi tidak lena tidur. Abi minta umi memicit dan mengusap-usap seluruh tubuhnya. Umi tidak tidur semalaman kerana Abi mengerang dan meminta dipicit seluruh tubuhnya. Umi akur dengan permintaan Abi kerana dulu sewaktu Umi kena apendiks, Abi juga yang bersengkang mata menemani Umi. Cuma bezanya Abi di tempatkan di ICU dan Umi di wad biasa sahaja.

Aku tidak tahu apa yang akan terjadi sekiranya Abi tiada. Aku belum bersedia untuk semua ini. Selama ini semuanya aku serahkan kepada Abi untuk mengurusnya. Aku tidak pernah ambil tahu pasal rumah, pasal bil air, pasal bil elektrik, pasal kebun dan pasal segala-galanya. Yang aku tahu semuanya sudah tersedia, sudah disedia. Abi yang uruskannya. Malah aku juga tidak kisah apabila doktor memberitahu Abi bertahan untuk 3 bulan sahaja. Umi beritahu setahun yang lalu. Walaupun aku tahu kesihatan Abi merosot kebelakangan ini, tetapi aku menganggap bukan sekarang masanya Abi meninggalkan aku.

"Abang, mengucap bang."
"Allah. Allah. Allah"
"Masih ada denyut nadi lagi ni," kata Pak Cik Mat Siraj.
"Abi, mengucap Abi."
" Allah. Allah. Allah"

Abi tidak memberi apa-apa reaksi. Aku sedaya upaya menggunakan kemahiran mouth to mouth respiration yang aku pelajari sewaktu aku diuji untuk mendapatkan Sijil Pertolongan Cemas dua puluh tahun yang lalu. Ketika itu aku berumur sembilan belas tahun. Untuk lulus dalam peperiksaan itu aku kena menjalani ujian lisan yang dilakukan oleh seorang doktor bertauliah selain menjalankan amali pernafasan dari mulut ke mulut'ini. Kalau gagal maka aku tidak layak untuk mendapat Sijil yang akan ditandatangi oleh Yang di-Pertuan Agong untuk tempoh tiga tahun sahaja. Aku mengumpul kembali detik itu dan aku baringkan Abi separas lantai. Aku dongakkan dagu Abi ke atas, lalu aku hembuskan udara ke dalam mulut Abi. Aku genggam kedua-dua tangan. Aku silangkan jemari dan kutekapkan ke dada Abi sebelah kanan dari tengah tulang rusuk Abi. Aku tekan dada Abi lima kali. Aku lepaskan genggaman tanganku dan Aku pegang dagu Abi,. Sekali lagi Aku hembuskan udara ke dalam mulut Abi. Aku melihat dada Abi terangkat. Aku memeriksa denyutan nadi Abi pada urat pembuluh di leher Abi. Aku tidak dapat mengesannya.


Bau Abi harum kerana Abi sudah bersugi, Abi sudah bersuci. Abi sedang dalam wuduk kerana menurut Umi, Abi tersembam ke dinding sewaktu hendak bangun daripada bangku selepas mengambil wuduk. Aku kenal benar Abi, sebelum wuduk Abi mesti buang air, mandi bersihkan diri. Kesan di dahi Abi menguatkan kata hatiku bahawa Abi cuba bangun dari bangku dan masa itulah serangan jantung kali kedua berlaku. Lama juga Abi tersembam sebab Umi tidak terus bingkas kerana waktu itu Umi dalam tahiyat akhir. Umi cuma terdengar bunyi bangku beralih tetapi terus senyap. Umi memanggil-manggil Abi tetapi tiada jawapan. Umi dapati Abi tersembam di dinding. Dengan bantuan jiran sebelah, Abi di bawa ke tengah rumah dan aku tiba 2 minit kemudian. Aku menarik pergelangan tangan Abi. Aku periksa denyutan nadi Abi, begitu lemah sekali. Sekali lagi aku dongakkan dagu Abi, kuhembus udara ke dalam mulut Abi. Aku ulangi menekan dada Abi lima kali berselang sesaat. Tiada perubahan.

"Ya, Allah, apa ikhtiar aku sekarang ini?"
"Bawa ke hospital saja."
"Tak perlulah, nadinya lemah sangat ini."

Sambil aku membisikkan Allah ke telinga Abi, aku teringat kembali wajah Abi tersenyum sepanjang petang semalam. Kami duduk-duduk di hall sambil berbual-bual. Wajah Abi kelihatan sedikit ceria dan cerah jika dibandingkan dengan keadaannya beberapa hari yang lalu sewaktu dimasukkan ke dalam wad. Sepanjang petang Abi hanya tersenyum. Sejak pulang dari hospital Abi tidak banyak bercakap. Abi hanya tersenyum kalau rakan-rakan semasjid bercerita. Ramai yang datang. Ramai yang menziarahi Abi. Walaupun Abi bukan imam masjid, tetapi Abi orang penting. Semua orang tunggu Abi. Semua orang panggil Abi. Apabila Abi pulang tentu ada orang yang bawakan Abi buah tangan. Banyak buah tangan di rumah. Aku masih teringat kali terakhir Abi berkhidmat, Abi beritahu semua penduduk kampung. Abi serahkan kepada sesiapa yang dapat meneruskan. Malah Abi juga serahkan parang panjang kepada Pak Kassim. Pak Kassim yang memberikan kepada Abi supaya digunakan. Sekurang-kurangnya Pak Kassim dapat pahala. Bukan sahaja orang yang berkorban mendapat pahala tetapi orang yang menyembelih haiwan korban seperti Abi juga akan dapat pahala. Abi juga bertanya sama ada aku boleh menggantikannya. Aku menolak. Abi sedikit kecewa.

Orang datang rumah bukan sahaja menempah Abi sebagai penyembelih haiwan korban dan akikah tetapi juga sebab Abi mahir menggunting rambut. Semua penduduk kampung datang tidak kira waktu, pagi, petang, siang dan malam. Ada satu ketika aku masih ingat lagi Abi didatangi oleh sekumpulan lelaki Cina dari Parit Buluh. Aku tidak jelas apa butir perkara yang Abi bincangkan dengan lelaki Cina itu. Seingat aku, Abi masuk ke bilik, menukar pakaian dan membawa bakul setianya bersama-sama. Abi masuk ke dalam kereta dan terus dibawa oleh kumpulan lelaki Cina itu. Aku melihat wajah Umi selamba sahaja. Barangkali tidak ada apa-apa yang berlaku. Mungkin Umi sudah biasa dengan keadaan itu. Sejam kemudian Abi pulang dengan senyum. Membawa beberapa bungkusan. Buah-buah dalam tin, biskut dan beberapa barang makanan lain ada dalam bungkusan itu. Yang pasti ada gula-gula bantal kegemaranku. Abi tidak pernah gagal untuk membelikanku gula-gula itu, bersalut tiga lapis. Lapisan luar plastik jernih, lapisan kedua pembalut kertas dan lapisan ketiga kertas tipis tetapi boleh dimakan, di dalamnya gula-gula kacang tanah bersalut gula manis. Nikmatnya gula-gula bantal. Aku masih tidak tahu ke mana Abi pergi. Sekarang aku baru tahu daripada mulut Umi, Abi diminta menggunting rambut keluarga Cina di Parit Buluh. Cina mati. Digunting rambut sebelum dimasukkan ke dalam keranda. Bukan sekali, tetapi banyak kali. Malah setiap kali ada kematian orang Cina, Abi akan dijemput. Yang aku pasti ada banyak makanan berbeza kalau Abi pulang menggunting rambut di kedainya sebelah kedai Chabai.

Kalau aku cerita pasal Abi, aku rasa aku sangat bersalah. Setiap kali selepas solat Maghrib, Abi mengajarku membaca al-Quran. Satu persatu huruf diperkenalkan kepadaku. Abi membaca dahulu, aku mengikutnya. Salah sebut, rotan jawabnya. Abi memang garang. Pernah aku dikejar keliling tiang seri rumah sebab aku tidak mahu mengaji. Aku memang pandai membuat alasan, mengantuklah, penatlah dan macam-macam lagi. Itulah aku, malah rasanya ramai lagi yang macam aku. Tetapi Abi tidak putus asa, aku tetap diajarnya, walaupun setiap kali aku mengaji al-Quran ada-ada sahaja alasanku. Ada-ada sahaja tindakanku. Selalu aku dimarah sebab menggaru-garu kaki, tangan, badan, kepala. Rasanya tempat yang tidak gatal pun menjadi gatal setiap kali aku mula mengaji al-Quran. Tapi Abi tetap mengajarku satu persatu. Selepas Abi mula sembahyang lima waktu di masjid, Umi pula mengambil giliran. Guruku yang baru ini lebih hebat, habis badanku kena siku dan lebam sebab kena ketip dengan jari telunjuk dan ibu jari tangannya. Adus...

Aku memang tidak pandai bersembang dengan Abi. Masa kecilku aku tidak berkesempatan bersembang dengan Abi. Abi keluar rumah sebelum aku bangun dan Abi pulang dari Masjid tatkala aku sudah masuk tidur malam. Kalau hujung minggu atau hari minggu, aku bantu Abi memesin getah dengan menggunakan mesin getah yang Abi beli. Apabila Abi pulang daripada mengutip getah susu, Abi menuang susu getah ke dalam acuan loyang empat persegi. Abi masukkan asid kemudian Abi godak dengan menggunakan sekeping loyang. Ke kanan dan ke kiri Abi mengacau susu getah. Tidak lama kemudian getah membeku. Abi buat begitu pada beberapa loyang yang lain. Kadang-kadang ada lima loyang, kadang-kadang ada lapan loyang. Apabila mula mengeras, Abi cepat-cepat telangkupkan susu getah yang sudah mengental itu di atas lantai papan. Memang Abi buat lantai itu sedikit jarang supaya air dapat mengalir terus ke bawah dan menuju ke longkang yang Abi buat. Abi rapatkan tangan kanan dan kirinya. Aku lihat sama seperti tangan yang aku buat sewaktu membuat latihan untuk 'pernafasan dari mulut ke mulut'. Abi tekan dari tepi kanan getah yang terlangkup tadi. Satu persatu sehingga berketak-ketak. Kemudian Abi buat pada sebelah kanan dengan ketak-ketak yang sama. Abi ulang pada tengah dan Abi tekan satu-satu hingga habis. Jadi sekeping yang berketak-ketak. Aku bersedia berada di tepi mesin. Abi memasukkan bahagian awal kepingan getah tadi pada balak di mesin itu. Perlahan-lahan aku memusingkan pedal mesin dan kumesin perlahan-lahan. kepingan getah itu. Masuklah adunan getah tadi ke dalam mesin tersebut. Berat juga kuhayun pedal mesin getah. Terangkat-angkat badanku kerana getah itu perlu masuk menerusi dua balak itu dan keluar pada sebelah sana. Puas hatiku kalau getah itu habis dimesin.

Selepas kepingan getah itu dimesin pada mesin mulus tanpa berbunga, Abi memasukkan pula kepingan getah itu pada mesin berbunga garis lurus berbelang-belang serong. Aku jugalah yang memusingkan pedal mesin kedua ini dengan kudratku yang ketika itu berumur 10 tahun. Terkial-kial tetapi aku lihat Abi memasukkannya dengan cermat. Akhirnya keluarlah kepingan getah yang cantik berjalur sendeng dan selepas itu tugas aku menyidai kepingan getah itu pada batang buluh yang tersedia di ampaian. Bukan satu keping tetapi semua kepingan yang Abi buat akulah yang menjadi penamatnya. Kiranya akulah yang memberikan final touch. Setahu aku, itulah punca rezeki Abi. Kepingan getah itu dijual tetapi bukan semua milik Abi. Abi bahagi dua kerana Abi menoreh pokok getah orang lain.

Aku melanjutkan pelajaran di Pulau Pinang selepas keputusan peperiksaan SPM keluar. Setiap kali pulang bercuti, Abi mengajak aku membantunya menukang rumah. Maklumlah rumah kami yang sudah uzur ada-ada sahaja yang perlu dibaiki. Ada juga Abi mengajak aku membantunya membina rumah sewa di sebelah rumah kami. Abi kata duit sewa itu nanti boleh dijadikan duit pencen Abi dan Umi. Hingga sekarang rumah sewa Abi masih ada. Sebagai akibat selalu membantu Abi aku mula pandai bersembang dengan Abi, kadang-kadang membantunya membuat kira-kira, mencongak-congak budget untuk membeli batu bata dan simen. Malah Abi juga yang mengajar aku cara mengadun simen untuk melepa batu bata. Malah menyusun batu-bata juga aku diajarnya. Kalau menggergaji papan ataupun menanam botol sebagai faudation dan piling rumah, aku sudah biasa buat. Aku rasa Abi mengajar aku kemahiran yang tidak aku pelajari di Pulau Pinang. Abi juga selalu menulis surat kepadaku tetapi Abi menulisnya dengan menggunakan tulisan jawi. Kalau aku mengepos money order kepada Abi daripada Pulau Pinang, Abi yang akan menunaikannya di pejabat pos. Walaupun waktu itu elaun aku kecil tetapi aku ada juga mengirimkannya kepada Umi dan Abi. Tetapi kadang-kadang aku juga minta balik kalau budget aku habis, terutama waktu cuti. Terima kasih Abi.

"Allah. Allah. Allah"

Abi tidak memberi reaksi. Maaf, Abi. Aku tidak tahu apa yang harus aku bantu lagi. Walaupun Abi banyak mengajarku untuk berdikari tetapi hanya ini sahaja yang aku dapat lakukan pada saat terakhirmu Abi. Aku terus membisikkan nama Allah di telinga Abi. Berulang-ulang kali. Akhirnya aku dengar bunyi dengusan terakhir pada kerongkong Abi. Abi pergi dengan tenang dalam senyuman yang berpanjangan, Sabtu, 10 April 1999, jam 6.30 pagi dalam keadaan suci.

"Umi, Abi sudah tiada."
"Reda ya, Umi"






Janji II



mudah sebut
senang lafaz
rayu
pujuk
dengan sumpah
janji
ikrar
segala

esok
nanti
besok
lusa
tulat
ditunggu tapi hampa

sori
maaf
please
geli aku mendengarnya

rupanya
satu permainan
satu penipuan
satu kezaliman
satu kejahatan
juga ke'syaitan'an

benar kata-Mu
hunjam di dalam hatinya
sebagai
munafik
yang tidak diterima
sampai bila-bila
walaupun terpaksa memikulnya
di Padang Mahsyar

sekali menipu
seumur hidup
aku tidak percaya





Thursday, June 10, 2010

Ada Kaukisah



ada kaukisah
aku tidak tidur lena
waktu malamku
asyik teringat sakit lelahmu
bimbang siapa merawatmu
dan cemas waktu pengsanmu

ada kaukisah
selama mengenalmu
aku tidur dengan telefon genggamku
terkejut selang jam dan melihat isyarat
khuatir kau memerlukan aku
saat-saat getirmu
demi aku ingin berbakti kepadamu

ada kaukisah
aku sebar tentang dirimu
untuk meraih simpati taulan
mohon berdoa kaupulih
dan mengharap ada yang menghargai puisi puitismu
supaya jadi teratas dalam ingatan
dan mendapat penghargaan

ada kaukisah
seharian berbaring di atas ranjang
berlari memandu untuk memenuhi permintaan
dalam keadaan sakitku, hujan lebat dan kelam kabutku
demi memberikan kaunikmat
sebelum diambil oleh-Nya sebagai penamat

ada kaukisah
aku memohon merayu supaya jangan kaujual
kerana aku tidak mahu puisimu putus,
mati karyamu di pertengahan jalan
tidak kesampaian hajatmu untuk melampiaskan,
bukankah bait tiap puisimu amat bermakna
menyedarkan manusia tentang erti cinta mulia

ada kaukisah
aku merafak dan meminjam
daripada orang lain untuk meringankan
dan menggembirakan
malah ada kalanya aku mengambil yang bukan hak
semata-mata mahu memberimu keceriaan
dan akhirnya
aku bergolok bergadai, terhutang ikhsan
dan simpati orang lain asalkan kau mendapat kebahagiaan

ada kaukisah
selepas semuanya terbongkar
aku masih lagi memberi simpati
terkejar-kejar mencari-cari baki,
lalu kumasukkan semuanya
kerana aku amat menyayangi dan menghargai
tahap persahabatan dan persaudaraan yang kauberi
juga taraf penghormatan dan janji yang kulakeri

ada kaukisah
warga kerajaanmu membenci
memaki dan memulauku dengan kata-kata caci
bahawa aku adalah dirimu dan akulah yang merancang
hilang bahasa dan harga budi
melemparkan benci sedangkan selalu ketawa dan menganggapku keluarga
dan akhirnya dengan mudah melafaz maaf tetapi di hati penuh rasa curiga

ada kaukisah
kotak merah, beruang dan sepasang baju melayu
jadi penunggu dan tidak berpemilik
ada kaukisah
ada kaukisah...






Tuesday, June 8, 2010

Kenal Diri





aku menyingkap
tingkap kenangan semalam
didapati daun tingkapnya
rosak dimakan anai-anai penipu
yang kononnya mahu bersahabat
dan bersebati dalam jejenang tetapi
membuat nanar secara diam-diam.

Jejenang kayu yang kukuak,
penuh dengan sarang
burung-burung lelayang becok
bercerita tentang pengalaman harian
tentang suka duka susah senang
penipuan

dan kehancuran hati
atas kepercayaan yang diberikan.


Jeriji tingkap yang kupegang
semakin usang

kerana tersimbah air hujan jalang
juga akibat tempias kedurjanaan
dan janji kepalsuan

yang disapu dan disepuh
dengan cat warna-warna kepalsuan

serta ukiran rasa yang bahannya
disadur dari milik orang.


aku kembali menutup
dedaun, jejari dan jejenang tingkap
agar tingkapku bertaut kembali

dan kusimpan kenangan sewaktu menyelaknya
kerana aku tidak mahu lagi membuka
jendela masa depan dengan tangan yang kotor
akibat debu hina yang kusentuh.

satu masa
akan kuganti jejenang, jeriji dan daun tingkap
dengan jendela yang baru
agar
apa yang kuperoleh semua ini
dapat dilupakan selamanya.






HCMC, 9 Jun 2010