Saturday, February 27, 2010

Memantap Ukhuwah dan Memperkasa Ummah

Ukhuwah asas perpaduan
Ukhuwah kukuh keamanan
Ukhuwah melampias kedamaian
Ukhuwah benteng kejalihan,

Elak sengketa, hidup hormat-menghormati
hidar caci-cerca, hidup bersatu hati
jauhi adu domba, buang sifat iri hati
Ukhuwah pancaran kemajuan tamadun manusiawi,

Ummah perkasa, kuasai kekuatan
Ummah perkasa, hebat amalan
Ummah perkasa, tunggak perpaduan,
Ummah perkasa, amanah kelestarian,

Jati diri yang unggul, jadikan pakaian
sifat mahmudah, jadikan hiasan
sifat mazmumah, kita hindarkan
toleransi pakatan, kita utamakan
kesatuan ummah, destinasi kegemilangan,

Rasulullah idola insan nan kamil
keredaan akhirat hidup yang abadi
keunggulan syuhada ikhtibar diambil
memartabadkan maruah zuhud mengabdi
memantap ukhuwah, memperksa Ummah.

inu...2010

Warkah Untuk Perpaduan

Kita hadir bagai benih
berisi cita dan zat harapan
benamkan akar jati diri suci
tegakkan pohon janji-janji murni

Kita hapus noda dusta bangsa
minda terkunci menjulang maruah
teguh iman memartabatkan
ilmu menjadi senjata

Kita lakarkan tanda cita
warna-warna indah perpaduan
berbingkai kesetiaan
tegak sekata bias keharmonian

Kepada Tuhan kita pohon
panjatkan doa erti syukur
sesal kekhilafan
kembali berjalan
dalam dakapan roh perpaduan.

Rebutlah Peluang

Zaman muda rebutlah peluang
membina bangsa berdiri cemerlang
hidup mulia jasa ikhlas dipandang
bebas negara, gemilang dan terbilang,

Tinggi citamu, biar akhir dilihat
jalan ditempuh, berbekalkan semangat
jangan tertipu, jalan mudah dan singkat
kelak dilalu, bawa kisah yang dahsyat,

Manis berseri, tampan muda bergaya
lambanglah diri, hidup sihat gembira
jangan turuti, musuh racun bahaya
menyesal diri, jadi bangkai bernyawa

Pemuda alpa, lupa cita dan jasa
janji punah, lumpuh tiang negara
pemudi leka, penting diri lupa bangsa
gadai maruah, hapan mimpi semata

Negara maju, rakyat bebas dan tenang
semua laju, susah menjadi senang
bersatu-padu, hidup jadi menang
dadah musuh, sungguh diperang.

inu 2007

Hidup

Tuhan
dunia-Mu kian kelabu
bayu seskkan rongga nafasku
kerana bercelaru diracun dosa
manusia hilang di dunia nyata

Sedarkah kita
hidup ini dalam takdir-Nya
kita hina kerana kita hamba
bersyukur dunia anugerah istimewa

Kembalikanlah kedamaian
teruskanlah berjalan
sebagai khalifah insan terbilang
damaikan dunia dengan perpaduan
bersatu kita teguh bercerah kita roboh

Semaikan kasih dan sayang
taburkan jasa binalah insan
membangun dengan dunia Islam
selamanya kita dalam kasih sayang-Nya

Alhamdulillah...

Berpeganglah pada al-Quran dan sunah Rasul
jalan yang susah akan mudah dan teratur
teguhkan iman dengan akhlak yang tulus
sempurnalah dan bahagialah hidup...

Hitam dan Putih

Indahnya tika bernaung kasih-Mu
terbuka mata akur keagungan-Mu
bahagia menyelubungi hidup
anugerah terindah sentiasa berkunjung

Mesranya jalinan ukhwah insan
hakikat realiti persaudaraan
kasih tuhan kita harapkan
kasih sayang penyubur pengukuh ikatan

Doa kesyukuran iringi perjalanan
terpancar cahaya cita yang gemilang

Mencari kemanisan hidup
tak mungkin bagai membuka mata
susah senang kita tempuhi
agar berseri lukisan hitam putih hidup ini

Jangan biar alam merintih
tangisi kejadian yang harmoni
waktu kian mengalir ke hulu
biarkan beburung menyanyikan melodi kedamaian

walau emas permata
mampu diraih
kemanisan Firdausi bukan janji yang pasti

Setiap yang mula akan berakhir
kembali kepada Illahi
semaikanlah cinta ikhlas dari hati
hijrahkan diri
abadikan fitrah suci.

Farid MB 2000

Setia Keranamu Malaysiaku

Malaysiaku
terbentang indah bumimu
riang suria memancar kasih
mengukir senyuman warga
lambaian kedamaian
mengundang ceria

Restu...kasih Illahi
berkat doa dan tanda syukur
bersemadi cinta dan setia
berpadu membara di jiwa
anak bangsamu berdiri megah

Indah citra bangsa berwawasan
lakaran kemajuan yang gemilang
warna-warni seni budaya warisan
tercetus keharmonian, perpaduan
sesama insan

Malaysiaku
kunjung tinggi namany
dalam dakapan janji dan impain
menyaksikan bintang-bintang berkelipan
di persada dunia
tinggi menghiasi pentas kejayaa
milik kita

Selamanya Malaysiaku
kukorbankan jiwa ran ragaku
demi setia keranamu.

Dunia Kini

Ku mendongak renungkan langit yang biru
bersyukur memuji nama-Mu Illahi
kuhitung tiap langkah perjalananku
kian jauh namun tetap jua berliku,

Kerana dewasa dunia hilang wajah
manusia buta lupa fitrah sebagai hamba
agungkan kuasa dan mewah harta
yang lemah kan tetap hina selamanya,

Mengapa dusta menjadi senjata
miliki akal tapi kejahilan bermaharajalela
halal haram bukanlah hujah utama
petanda dunia di akhir usia,

Buka mata dan terus melangkah
Renungkan bahagia kita yang ternoda
warnai semula dengan warna cinta
Cinta milik Yang Esa,

Suluhkanlah terangi jalan yang gelita
agar mata terlihat duri dan kaca
bentangkan sutera iman dan takwa
dekatkan jiwa dengan kasih-Nya,

Sedarlah dunia ini sementara
khabarkanlah berita yang gembira
demi insan yang akan datang
Maju ke depan bernaung bersama Islam.

Farid MB 2000

Malaysia Jiwaku

Rentasi bumi hijau khatulistiwa
bersemadi tanah bertuah ini
gagah berdiri kemajuan bangsa
disinari cahaya keharmonian dan kedamaian,

Bersemarak suara setia
luhur jiwa bentangkan bakti dan jasa
sesuci titisan peluh kejayaan
anak bangsa meraih erti kemerdekaanmu,

Malaysia cintaku... jiwaku...
kubahagia bersamamu
di mata ada kilauan masa depan
realiti impian
wawasan gemilang
kauhadir di puncak cita-cita

Malaysia cintaku...jiwaku...
kujang tinggi namamu
dalam dakapan janjiku
di mata menyaksikan kemanisan
haruman kejayaan bangsamu
menyinarimu di persada dunia,

Sejarah menjadi saksi
kita bukan mudah jatuh mengalah
korbankan nyawa demi maruah
sehati, sejiwa, satu bangsa
demi satu negara

kausatu dalam sejuta
Dirgahayu Malaysia tercinta
keranamu Malaysiaku
kusumpah setia

Dunia dan Kita

Hamparan ini kian usang
keindahan pudar, hilang ceria
bisikan kedamaian mendayu memecah
hilang kemerduan suara

Hilangnya seri alam ini
hidupan meracuni, melukai diri sendiri
duri dan kaca tumbuh menyuburi
menghalang setiap langkah perjalanan

Dimanakah keikhlasan pada anugerah Illahi
yang sering dirindui setiap ketika
nilai kasih dan sayang dipertaruhkan
mengapa tersungkur tika kepapaan mendatang

Kembalikan kasih sudi
dalam diri yang sedar
bersama memutik jambangan cinta
di pohon keinsafan pada Tuhan yang Esa

Hidup ini adalah perjuangan
abadi segala ujian
usia muda tak mungkin berulang
kelak kita kembali kepada Allah
Tuhan semesta alam

Farid MB 2000

Bisakah

Bisakah sang bulan kirimkan pesan
ucapan rindu terbang bersama angin malam
bisakah beburung bernyanyi riang
hiburkan kesunyian jiwa seorang
kekasih...

Andai gagah bisaku rentasi
Laut China Selatan
kan kuiring tarimu dalam dakapan kasihku
kuingin ku terus tersenyum
miliki aku di sisimu
ku hiasi malammu indah bak kejora,

Bisakah sang bayu bertiup bersiulan
sampaikan bisikan ikhlasnya cintaku
bisakah hujan menitis membahagiakan
kerna kenangan kita hadir bersamanya,

kutahu keikhlasanmu
walau kita jauh
aku hadir dalam mimpimu
kau bersemadi dalam hatiku,

fmb...2008

Kerana Sebuah Kedamaian

Kerana sesungguhnya
alam anugerah terindah
kita berdiri dan susuri perjalanan hidup
selagi usia membenarkan kita,

Kerana sesungguhnya
kedamaian menjadi impian
insan impikan jalinan kasih sayang
cinta yang tulus, suci dan abadi
tanpa kasih Tuhan, suramlah alam
tiada hias,

Kita miliki segala untuk disyukuri
kita harungi dugaan kerna kejayaan
kita miliki cinta di jiwa untuk kebahagiaan
kita mengasihi kerana kita bersaudara,

Hadirlah kemanisan dan penawar
hapuskan kedukaan rintihan dan tangisan
tangan yang dambakan kasih kita
Ya Allah terangkan jiwa kelam
yang hilang jalan pulang buta di perjalanan
agar kembali merindu bayu segar
dalam damai kehidupan dan kasih sayangmu,

kerana sesungguhnya
alam hanya pinjaman
hayat hanya sementara
diri ini akan kembali jua kepada-Nya

inu...2008

Kitalah Ummah Terbilang

Lafazlah Alhamdulillah
atas nikmat pemberian yang Esa
hamparan kehidupan nan indah
bahagia, aman sejahtera
kitalah ummah gemilang,

Hindarkan sengketa insan
iri hati dan kebencian dijaja
padamkan api keangkuhan
musnahkan bibit perpecahan durjana
kitalah ummah gemilang,

Biarkan embun pagi menitis
dari helaian dedaun hijau segar
alam tersenyum melihat kehidupan harmonis
damai menghuni permaidani terhampar,

Rahmatilah ibu bapa kami ya Allah
sepermana kecil mereka pelihara kami
Ummah Gemilah Kukuh Ukhwah ya Allah
redaan mereka redaan-Mu terhadap kami

Semadikan di jiwa dan minda
teladani sirah rasul nan mulia
rentasi zaman sianrkan Islam tercinta
hijrahkan dunia ke jalan sebenarnya,

Tuntutlah ilmu gemilangkan cita
bersulamkan iman dan takwa
fitrah hamba menyingkap rahsia
penyuluh jalan antara dua dunia

Mari bersama memutik jambangan cinta
di pohon keinsafan pada Yang Esa
kita suburi dengan benih iman
sudi diri tiada diracuni
sejahtera selamanya ummah terbilang.

inu...2008

Menjana Ummah Gemilang

Kita ummah anugerah
khalifah penjaga dunia
telah sirna
ikhlas dan tunduk kepada-Nya
Allah yang Esa

Ummah Cemerlang
takkan diluntur nafsu
terkunci ilmu penuh di dada
mewarnai lukisan cita-cita

Tunaikanlah kewajipan kita
tegakkan Islam ke akhirnya
walau dunia penuh pancoraba
cinta kita di dunia

Akhirat selamanya...

Cinta kepada kedamaian
mengukur senyuman abadi
walau kadang hitam menggores
cinta hakiki bersama.... berdoalan

Ummah Terbilang
takkan dihasut goda
Quran Sunnah tinggi dijunjung
bekalan seiring jalan

Akhlak mulia
mengabdikan sifat sempurna
nilai murni rencah peribadi
terpenjara kebatilan yang keji

Ummah Gemilang
berani gagah berdiri
sirah Rasul diteladani
Khalifah Islam diungguli

Menjaga bumi...

inu...2009

Anak Didik

Senyuman itu mengingatkan aku
pada seorang anak didikku di Felda Tanjung
kurus dan kerdil
ketika ribut besar
melanda keluarganya
dia berlari ke kanan dan kiri
mengharap sinar mentari pagi,

Demikianlah anak itu
kerdil tak seperti senyumannya
bertahun melalui
denai kehidupan yang berduri
bersama bondanya yang tenang
menyusuri tiap penderitaan
dengan tabah dan beriman,

Anak itu mengagumkan aku
dalam tenang senyumannya
menolak sopan simpatiku
"Saya tak minta itu semua, cikgu"
"Ajarkanlah saya erti sebuah kehidupan"

Anak itu terlalu muda
namun mewah dengan pengalaman
kekuatan demikian tak semua mengecapinya,
kekuatan yang hebat, mematangkan
bila aku menyatakan dukaku
rasa pilu terhadap nasibnya
sekali lagi dalam senyuman agung dia berkata
"Usah sedih, cikgu. Tabahkan hati.
Banyak anak-anak seperti saya di dunia ini."

Aku jadi terpegun
dia, anak itu pula meredakan
mengawal ombak emosiku
jangan sedih melihat derita pahitnya
alangkah pilu hati lelakiku
yang mahu membela nasibnya
menerima nasihat supaya tabah dan berani
dari anak didikku sendiri,

Seorang anak sepertinya
pasti akan menghapus erti sebuah sengsara bondanya.

inu...96

Rahsia Kita Buat Kita

Antara kita punya rahsia
yang aku tahu
yang engkaupun tahu
tapi antara kita ada rahsia
yang pastinya tiada
sesiapa yang tahu
kecuali Dia,

Rahsia antara kita
pastinya tak terungkai
kalau tiada yang tahu
apa yang kita tahu
yang pastinya rahsia itu
kita sahaja yang tahu
kita punya rahsia itu.

Inu...96

Kerinduan ini (Buat ER)

Kalau dapat kugulung rindu ini
pasti tiada tali yang dapat mengikatnya
malah kalau dapat ku hamparkan rinduku ini
pasti tidak dalat kulihat awal mulanya
apatah lagi di mana letak akhirnya
dan tidaka kelihatan hujung rindunya,

Kalau dapat kubungkus rinduku ini
pasti tiada kertas yang dapat membalutnya
atau reben merah yang dapat menyimpulnya
malah kalau dapat kubuka bungkusan rinduku ini
pasti tak dapat kugambar betapa besar jisim rindu
apatah lagi berat jirim rinduku,

Rindu yang kugulung dan yang dihampar
pasti akan kujadikan hantaran
bagi ikatan yang tercipta.

Inu...96

Kalau Kutahu (Buat ER)

Kalau aku tahu
begini berakhirnya perjalananmu
lama dulu aku baiki
denai yang kau lalui,

Kalau aku tahu
demikian azabnya kehidupanmu
awal dulu aku sirami
tamanmu dengan kebahagiaan,

Begitulah aku
hanya tahu apabila
perjalanan yang kau lalui
dan taman yang kau sirami
rosak dan musnah
ketika benih yang kautanam
dan harapan yang kau semai
baru berputik dan bercambah,

Demikianlah aku
tak berdaya memacak tunjang
walau pasti dulunya
pancangan itu di tanganku,

Namun kini aku pasti
ikatan yang terputus
bertaut kembali
kerana aku memerlukanmu
dan katamu kau memerlukanku.

Inu...96